Air tangan lelaki, wanita, mana lebih enak?

DALAM bab makan, mungkin tidak perlu dibandingkan lelaki dan wanita. Ini kerana masing-masing memang cekap mengisi perut dengan makanan kegemaran. Namun, dalam soal masak-memasak, siapa pula lebih handal - lelaki atau wanita?

Jika dulu, kerja masak-memasak milik mutlak wanita. Mengapa tidak, wanita lazimnya duduk di rumah dan menjaga hal ehwal kebajikan keluarga termasuklah soal makanan dan minuman.

Namun, zaman berubah. Kemahiran memasak kini bukan lagi dikuasai wanita. Lihat sajalah barisan chef terkemuka negara, ramai di kalangan mereka adalah pemilik kromosom XY.

Merungkai isu siapa hebat memasak, kolum XY vs XX bertanyakan pendapat lelaki dan wanita ini… Tepuk dada, tanya selera!

Saidatul Atikah Khairuddin, 24

“ZAMAN sekarang, boleh dikatakan lelaki atau wanita sama saja hebatnya dalam bab memasak. Wanita kebanyakannya boleh melakukan kerja yang mampu dilakukan lelaki dan begitu juga sebaliknya.

Ramai wanita pandai memasak. Ini mungkin kerana memang menjadi keperluan bagi golongan wanita untuk mahir memasak. Namun, ini berbeza bagi lelaki. Bilangan lelaki yang pandai memasak sedikit. Namun, dalam kuantiti kecil ini, selalunya air tangan mereka berkualiti kerana mereka memiliki minat mendalam dengan dunia masakan.

Masakan mereka juga lazimnya lebih kreatif daripada wanita. Namun, betapa hebat pun masakan seorang lelaki, mereka tetap mencari masakan air tangan ibu.”

Huzaidi Rubin, 25

“DARIPADA paparan program masakan di televisyen tempatan dan antarabangsa, kebanyakan chef yang menampilkan bakat memasak adalah lelaki. Secara tidak langsung, ia menunjukkan lelaki lebih handal dalam soal masak-memasak.

Dalam program masakan di televisyen juga, dapat diperhatikan chef lelaki lebih kreatif dalam mempelbagaikan teknik dan bahan masakan berbanding chef wanita.

Rancangan masakan yang popular dan ditonton ramai selalunya dikendalikan chef lelaki. Dari situ saja dapat dilihat kehandalan golongan lelaki dalam dunia masakan.”

Mohd Khairul Anuar Yusof, 23

“JIKA dilihat realiti zaman sekarang, lebih ramai lelaki terbabit dalam industri masakan berbanding wanita. Baik chef yang berkhidmat di hotel hinggalah tukang masak yang bekerja di gerai… Ramai antara mereka adalah lelaki.

Namun, itu tidak menentukan handal atau tidak lelaki atau wanita memasak. Ini kerana masing-masing ada kelebihan tersendiri. Lelaki pastinya ada gaya dan cita rasa masakan tersendiri dan begitu juga wanita. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada selera masing-masing.”

Roszaliza Is, 28

“DALAM aspek kerjaya dalam bidang masakan, tidak dinafikan lebih ramai lelaki yang berjaya. Mereka memasak dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa meningkatkan kemahiran memasak kerana sudah menjadi tanggungjawab mereka.

Kebanyakan wanita pula lebih handal sebagai chef di rumah. Mereka cekap dalam menyiapkan sajian untuk dinikmati seisi keluarga jika dibandingkan dengan lelaki.”

Mairah Farhana Abdul Rashid, 25

“JANTINA tidak begitu memainkan peranan dalam menentukan siapa yang pandai memasak atau tidak. Apa yang menjadi penentu ialah kemahiran dan pengalaman yang dimiliki seseorang dalam bab masak-memasak.

Ramai di kalangan rakan lelaki dan juga wanita yang saya kenali hebat dalam memasak. Jadi, bagi saya, handal memasak ataupun tidak bukanlah bergantung kepada jantina. Sebaliknya, kemahiran dan pengalaman yang dimiliki mereka.”

Selamat Kassim, 30

“TIDAK dinafikan, ramai wanita pandai memasak. Tetapi sekarang ini, ramai lelaki hebat dalam bidang ini. Lelaki zaman ini sebahagian besarnya berupaya menyediakan pelbagai sajian, tidak kiralah tradisional, barat atau sebagainya.

Kemahiran memasak boleh dipelajari dari bermacam-macam sumber sekarang seperti televisyen. Jadi, tidak hairanlah lelaki semakin handal memasak lebih-lebih lagi jika sajian itu digemari mereka.”

-bharian