Dari kiri, Idlan tempat kedua, Kumpulan Kecik, juara dan Alex tempat ketiga. Foto The Star Oleh AZLINA ABDULLAHSHAH ALAM: Kemenangan Kumpulan Kecik bergelar Raja Lawak musim keempat (RL4) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini malam tadi adalah di luar jangkaan pihak juri dan juga audien.
Kumpulan Kecik yang diwakili Mohd Ilham Rusdy atau Achoe, 19 dan Safuan Madeaming atau Wan, 20, yang berasal dari Sabah kelihatan tergamam apabila diumumkan sebagai juara RL4.
“Kami tidak menyangka kemenangan pada malam ini, memandangkan Alex dan Idlan turut mempamerkan persembahan yang hebat.
“Bagaimanapun, kami tetap bersyukur dan berhasrat untuk mendalami lagi bidang ini,” kata Wan mengulas mengenai kemenangannya malam tadi.
Kumpulan Kecik yang menerima undian khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) sebanyak 49.5 peratus berjaya membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta jenama Naza Sorento, wang tunai bernilai RM14,000, set karaoke Arezzo Hoffman, barangan elektrik jenama Haier, jam tangan jenama Hugo Boss dan trofi sumbangan Astro.
Kumpulan Kecik ketika beraksi di pentas akhir Raja Lawak 4.Foto The Star Oleh AZLINA ABDULLAH.Hadiah tersebut telah disampaikan oleh pelawak dan pelakon veteran terkenal tanah air, Datuk Jamali Shadat.
Sementara itu, Bob Lokman dan Afdlin Shauki mengakui terkejut dengan keputusan akhir RL4 yang telah menobatkan Kumpulan Kecik sebagai juara kerana mereka menjangkakan Alex yang bakal mendapat gelaran tersebut.
“Minggu lepas, Kumpulan Kecik sangat bagus. Secara jujurnya, malam ini sepatutnya gelaran juara RL4 adalah milik Alex. Tapi apa boleh buat, audien nampak Kumpulan Kecik yang bagus membuat persembahan malam ini.
“Saya percaya, Alex mempunyai harapan untuk menjadi seorang pelawak pada masa hadapan,” ujar Afdlin yang terkilan dengan keputusan tersebut.
Din Beramboi yang mempunyai pendapat dan pandangan yang tersendiri bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Kecik dan mengakui keputusan adalah seratus peratus daripada audien.
“Penentu menang atau kalah adalah daripada undian SMS, walau apa pun, kita terpaksa akur Kumpulan Kecik bergelar juara.
Alex terpaksa akur di tempat ketiga RL4. Foto The Star Oleh AZLINA ABDULLAH “Mereka juga tidak kurang hebatnya dan layak jadi juara. Saya tetap terima keputusan itu,” kata Din Beramboi.
Dalam pada itu, ketika menemui Idlan yang merangkul tempat kedua RL4 bagaimanapun tetap gembira dengan kemenangannya dan pasrah dengan keputusan tersebut.
“Saya tidak pernah kecewa dan semuanya saya terima dengan hati yang terbuka,” kata Idlan, 21.
Idlan bergelar naib johan RL4 tetap pulang dengan hadiah berupa wang tunai berjumlah RM11,000, sebuah kereta jenama Naza Optima, set teater rumah jenama Arezzo Hoffman, barangan elektrik jenama Haier, jam tangan jenama Hugo Boss dan trofi sumbangan Astro.
Alex, yang hanya menduduki tempat ketiga gelanggang RL4 menerima keputusan tersebut dan menganggap perkara tersebut sebagai adat pertandingan.
“Saya tidak kisah dapat nombor berapa, yang penting adalah persembahan saya pada malam ini,” kata jejaka dari Papar, Sabah.
Walaupun tempat ketiga, Alex turut membawa pulang sebuah motosikal jenama Naza Blade 250R, wang tunai sebanyak RM8000, barangan elektrik jenama Haier, set teater rumah jenama Arezzo Hoffman, jam tangan jenama Hugo Boss dan trofi sumbangan Astro.
Antara jemputan khas yang hadir ke pentas RL4 adalah, David Teo, Salih Yaacob, A.Aida, dan ramai lagi.
Gelanggang RL4 turut dimeriahkan dengan persembahan bekas peserta-peserta yang tersingkir pada musim ini.
-mstaronline






